Siapakah Syaitan?
Kalimah syaithan (شيطان) berasal dari kalimah syathana (شَطَنَ) yang bermaksud menentang, menyalahi atau ingkar dan ianya merupakan kata sifat bagi menunjukkan sesuatu perkara diri sesuatu yang berkelakuan jahat dan buruk.Dalam bahasa Arab syaithan juga bermaksud (المتمرِّد) yang membangkang atau durhaka, (الرجس) yang membuat bujukan (bisikkan) atau tipudaya dan perbuatan yang keji.
Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا
Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya”. [al-An’am:112]
Ibnu Kathir menyatakan di dalam tafsirnya pengertian syaitan menurut bahasa bermaksud jauh, iaitu jauh tabiaatnya daripada tabiaat manusia dan juga jauh dengan kefasikannya daripada setiap kebaikan. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 1/115]
Oleh kerana itu, setiap makhluk samada daripada jin atau manusia yang mengingkari perintah Allah SWT serta menyeru kepada kejahatan dan jauh daripada segala kebaikan dinamakan syaithan.
Nama-nama Syaithan
Antara nama-nama syaitan yang disebut di dalam hadith Nabi SAW:- Khanzab
- Al-Walahan
- Qarin
Terdapat beberapa lagi nama-nama lain bagi anak-anak kepada iblis tetapi ia tidak mempunyai sandaran yang kukuh.
Imam al-Munawi mengatakan bahawa Iblis mempunyai lima orang anak manakala sebahagiannya mengatakan tujuh orang anak dan setiap daripada mereka itu mempunyai tugas-tugas jahat yang tertentu. Mereka adalah:
1- Syibr (شبر) tugasanya adalah membinasakan manusia dan menyeru kepada kejahilan dan menggoda manusia berbuat maksiat ketika manusia sedang dalam kesusahan dan berada dalam kesedihan. Ketika manusia dalam kesusahan dan mendapat musibah, maka datanglah Syibr dan kuncu-kuncunya membisik manusia agar melakukan segala kejahatan seperti berzina, bunuh diri, menghisap dadah, minum arak, berjudi supaya manusia itu terus leka dan jangan kembali kepada Allah.
2- Al-A’war (الأعور) pula tugasnya adalah menghasut manusia supaya mendekati zina dan terus melakukannya dengan apa cara sekali pun. Al-A'war dan pengikutnya akan menggambarkan keenakan dan keseronokan berzina dalam akal fikiran manusia dan mengobar-ngobarkan nafsu.
3- Sauth (سوط) tugasnya adalah menyampaikan berita dusta atau penipuan yang mampu menimbulkan kemarahan dan fitnah besar,agar manusia itu akan kucar-kacir,hilang pertimbangan dan saling tuduh menuduh sehinggakan menyebabkan pertempuran yang hebat dan dahsyat.
4- Dasim (داسم) tugasnya adalah menimbulkan kekecohan dalam keluarga sehingga berlaku permusuhan dengan menyebarkan sifat emosi yang keterlaluan, mudah marah dan permusuhan yang selalunya berlaku dalam kes rumahtangga, dasim akan cuba meruntuhkan institusi kekeluargaan.
5- Zalanbur (زلنبور) Tugasnya adalah memastikan dunia ekonomi dan perniagaan akan tergugat.menghasut para pedagang agar sentiasa tamak dalam mengaut keuntungan,kecurangan dan penipuan dalam muamalah(perhubungan).Memastikan pengurangan dalam timbangan dan bekalan,kelumpuhan ekonomi melalui sistem inflasi.serta merupakan pengajak utama manusia dalam melakukan riba(bunga atau faedah dalam perniagaan).
6- Khanzab : Menghalangi umat Islam dalam melakukan solat,menggangu umat Islam dalam melakukan solat(sembahyang).serta mencari jalan agar dapat menyebabkan manusia tidak akan dapat menyembah Allah dan mengelakkan agar sembahyang menjadi sempurna.
7- Al-Walahan : Menggangu umat Islam agar sentiasa was-was dalam berwudhuk(bersuci sebelum melakukan sembahyang).ini akan menyebabkan umat Islam tidak sah dalam solatnya.Wuduk merupakan kepentingan yang amat perlu dititik beratkan sewaktu beribadah kepada Allah.Walhan juga,menyebabkan manusia agar sentiasa membazir dalam menggunakan sesuatu perar atau benda.
Memohon Perlindungan Kepada Allah Dari Syaithan dengan Isti'azah
Al-Isti’azah (الاستعاذة) atau al-Ta’awwuz (التعوذ) bermaksud memohon perlindungan daripada Allah SWT dari segala kejahatan dan keburukan.Allah Ta’ala berfirman:
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاس *ِ مَلِكِ النَّاسِ * إِلَهِ النَّاس * مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاس *ِ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ * مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاس.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. * "Yang Menguasai sekalian manusia, * "Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, * "Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, * "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, * "(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". ~ [Surah an-Naas:1-6]
Di dalam ayat-ayat tersebut kita diperintahkan agar berlindung dari bisikan syaithan yang bersembunyi yang senantia membisikkan ke dalam dada manusia, dan ianya menjelaskan keadaan bisikan-bisikan tersebut, yang mana boleh jadi pembisik tersebut adalah dari golongan jin atau mungkin saja dari golongan manusia.
Al Hasan Al Bashri berkata: Kedua-duanya merupakan syaitan, adapun syaitan yang berbentuk jin maka dia membisikkan ke dalam dada manusia, dan adapun syaitan yang berwujud manusia maka dia datang secara jelas dan nyata.
Qatadah pula mengatakan : Sesungguhnya dari golongan jin itu ada syaitan-syaitannya, demikian pula dari golongan manusiapun ada syaitan-syaitannya, maka hendaklah berlindung kepada Allah dari syaitan-syaitan jenis jin mahupon manusia. Inilah yang paling benar dalam penafsiran ayat-ayat yang mulia tersebut.
Lafaz al-Isti’azah
Antara lafaz al-Isti'azah yang masyhur adalah (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam”. ~ [al-Nahl:98]
Maksud al- al-Isti’azah secara umum
Aku berlindung kepada Allah SWT daripada Syaitan yang direjam serta kesesatan dan kemudharatan terhadap agama dan kehidupanku. Di samping itu, Engkau bantulah aku dalam melaksanakan segala yang Engkau perintahkan dan menjagaku daripada melakukan perkara yang Engkau larang.Kesimpulannya
Kita juga dituntut untuk sentiasa memohon pertolongan dan perlindungan kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan terutamanya daripada gangguan syaitan samada dari golongan jin dan manusia. Semoga Allah SWT memberi kita taufik dan hidayah terhadap apa jua perkara yang kita lakukan dan melindungi kita dari gangguan-gangguan syaitan dalam kehidupan kita. Amin.Wallahu'alam
0 Comments