Di dalam al-Qur’an diceritakan bahawa dunia adalah tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke akhirat iaitu tempat yang kekal.
Berdasarkan firman Allah SWT:
مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak”. ~ (Surah Al-Syura:20)
Firman Allah SWT:
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga mengenai banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanamannya mengagumkan petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu." ~ (Surah al-Hadid: 20)
Kalimah dunia berasal dari perkataan (دُنُّوُ - dunnuw) artinya dekat atau (دَناءةٌ - danaatun) artinya kehinaan. Dunia adalah segala makhluk yang ada atau yang wujud sebelum akhirat. Orang yang beramal kerana dunia adalah beramal untuk mendapatkan sesuatu faedah dengan pelbagai muslihat bagi meraih keuntungan yang dekat dan hina. Padahal dunia ini adalah daarul ibtilaa’ (negeri tempat ujian dan cubaan) yang bersifat sementara.
Akal manusia terbatas dan terhad, sedang ilmu Allah SWT Maha Luas. Dunia, alam dan isinya adalah permainan serta hiburan yang melalaikan jika tidak ditadabbur sebaiknya.
Ia melekakan dalam keindahan, mengasyikkan dengan hiasan serta perlumbaan yang mengujakan. Namun, akhirnya perkiraan di sisi Allah SWT di perkampungan akhirat yang utama.
Allah SWT berfirman lagi:
وَمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahuinya." ~ (Surah al-Ankabut: 64)
Kehidupan dunia adalah ladang akhirat, tetapi ia tidak bermakna meninggalkan segala kepentingan dunia dan hanya berfikir mengenai kehidupan akhirat semata. Sebaliknya, melihat kepentingan berusaha bersungguh-sungguh di dunia untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Oleh yang demikian sekiranya diberi kesempatan untuk melakukan amal soleh, maka jangan ditunda-tunda lagi, sebaliknya segera dilaksanakan. Justeru, ALLAH dalam al-Quran selalu menggunakan istilah bersegeralah, seperti fastabiquu atau wa saari’uu yang maksudnya sama, bergegas dengan segera, jangan ditunda-tunda lagi untuk berbuat baik atau memohon ampunan ALLAH. Dalam hadis Rasulullah SAW. Juga menggunakan istilah baadiruu maksudnya sama, tidak jauh dari bersegera dan bergegas.
"Wahai Tuhan Kami. Berikan kami seluruh kebaikan di dunia dan seluruh kebaikan di akhirat. Serta selamatkan kami dari azab api neraka." ~ (Surah Al-Baqarah: 201)
0 Comments