Kredit Foto: Daniel Sandvik

Masyarakat kagum apabila menyaksikan seseorang penceramah yang begitu petah, fasih, kreatif dan kelihatan bijak ketika berceramah di atas pentas, apatah lagi jika sang penceramah memiliki karisma yang memukau dan disokong pula oleh lembaran sijil sebagai lambang pembuktian piawai pencapaian akademiknya.

Ada yang berpendapat jika seseorang pemimpin atau tokoh masyarakat yang tidak pandai berpidato akan menyebabkan masyarakat atau orang bawahannya merasa kecewa kerena dipandang kurang nilainya di mata mereka dek kerena kekurangan yang dimiliki.

Berpidato sebenarnya bukanlah perkerjaan yang berat, hanya saja sedikit sukar bagi mereka yang belum biasa. Berpidato adalah keterampilan seseorang di depan umum untuk menyampaikan isi hatinya, buah fikiran, gagasan dan pendapat melalui rantaian kata-kata yang diucapkan.

Secara dasarnya, untuk membolehkan seseorang itu dapat berpidato atau menyampaikan ceramahnya, maka ia perlu memiliki tiga modal utama:
  1. Keberanian untuk tampil berhadapan dengan umum
  2. Kumpulan bahan atau materi yang akan disampaikan
  3. Kemampuan dan kemahiran berbahasa yang aktif secara lisan

Tetapi dalam suasana menuntut ilmu, apakah kemampuan dan keterampilan berceramah sang guru yang menjadi syarat utama suatu penyampaian ilmu tersebut dinilai sebagai menepati dengan waqi' yang sebenar?

Ada golongan yang mengecam kononnya ceramah-ceramah yang disampaikan oleh para asatizah dan ulama tradisionalis sebagai kaku dan membosankan ketika memberikan ceramah, tetapi ceramah golongan salafis segar dengan minda tajdid dan bersifat reformis kononnya. Tetapi apakah hebat dalam berceramah itu boleh dianggap sebagai suatu jaminan ilmu yang disampaikan itu bertepatan dengan waqi' yang sebenarnya?


Perbezaan Antara Kuliah dan Ceramah

Mungkin ada yang kurang memahami erti perbezaan antara maksud makna ceramah dan kuliah?

Kuliah: Pelajaran khusus yang diberikan secara lisan oleh pensyarah (mahaguru) di universiti atau di maktab kepada golongan penuntut ilmu.

Ceramah: Ucapan atau syarahan umum yang diberikan tentang suatu perkara kepada khalayak ramai yakni masyarakat awam.

Tetapi secara realitinya kedua-dua senario tersebut membabitkan ucapan atau syarahan dalam menyampaikan maksud. Tetapi point penting yang perlu dilihat di sini adalah golongan sasarnya:
  1. Penuntut Ilmu: Golongan yang mengkhususkan dirinya dalam berusaha untuk memperoleh ilmu pengetahuan, kepandaian dan kemahiran dengan melatih dan memahirkan diri dalam sesuatu ilmu-ilmu yang dipelajari secara mendalam serta menyelidiki sesuatu permasalahan secara tuntas sehingga mencapai darjah tertentu
  2. Masyarakat Awam: Rakyat biasa atau khalayak ramai yang tidak mengkhususkan diri dalam menuntut ilmu dalam bidang-bidang secara khusus dan konsisten

Secara ghalibnya, para penuntut ilmu akan menghadiri suatu kuliah pengajian khusus bagi mempelajari sesuatu bab atau sebahagian dari ilmu untuk memahami suatu permasalahan dan kemudian mengetahui kaedah cara penyelesaian masalah tersebut dari sang guru. Yang mana mereka lebih memberikan tumpuan pada isi kandungan penyampaian agar dapat memahaminya dengan lebih lanjut.

Manakala masyarakat awam yang menghadiri ceramah atau kuliah pengajian umum biasanya lebih tertarik kepada cara penyampaian mudah dan serba boleh sang penceramah tersebut seperti karekternya yang lucu, menghiburkan tidak membosankan dan jawapan-jawapan yang diberikan senang dan mudah difahami bagi pendengar umum.

Tetapi tidak bagi penuntut ilmu, yang mana mereka harus menghafal dan mempelajari suatu bidang dari dasar hingga ke tingkatan paling atas semampu mereka untuk memahami punca permasalahan secara menyeluruh sehinggalah dapat mengeluarkan satu natijah dari kaedah penyelesaian masalah tersebut dengan bantuan petunjuk sang guru.

Walaupun begitu, kedua-dua golongan di atas masih lagi dalam lingkungan mereka yang diperintahkan oleh Rasulallah untuk menjadi salah satu daripadanya sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulallah berkenaan golongan-golongan yang terkait dengan ilmu yang terbahagi kepada empat golongan, sabda Rasulallah s.a.w.:

كُنْ عَالِماً أُوْ مُتَعَلِّماً أو مُسْتَمِعاً أو مُحِبّاً ولا تَكُنِ الْخَامِسَ فَتَهْلِكَ
Ertinya: "Jadilah engkau orang yang berilmu, atau orang yang belajar, atau orang yang mendengarkan, atau orang yang menyukai, dan jangan engkau menjadi orang yang kelima, maka nescaya engkau binasa" ~ (HR Al-Bazzar dan At-Thobrani)

Sayyidina Ali k.w berkata : "Janganlah mencari ilmu kerana empat sebab berikut:
1. Untuk membangga diri di hadapan orang yang alim,
2. Untuk berdebat dengan orang yang jahil,
3. Untuk mempamerkan diri kepada manusia,
4. Untuk menarik perhatian manusia demi menjamin kedudukan.


Akhir Zaman Pengkhutbah Lebih Ramai Dari Ulama

Tidak dinafikan, untuk menarik perhatian pendengar masyarakat awam, seseorang penceramah perlu menonjolkan kelainan dalam cara penyampaiannya serta kelainan dalam mengolah isi kandungan ceramah agar perbahasan tersebut kelihatan segar dan sang pembicara kelihatan berwibawa, hebat dan berilmu pengetahuan sebagai suatu kemampuan untuk menarik khalayak yang ramai agar tidak bosan mendengar ceramah atau syarahan beliau.

Tokoh-tokoh orator yang hebat berpidato seperti Hitler dan Mussolini misalnya tidak boleh dinafikan mereka sememangnya hebat berpidato di atas pentas. Tetapi hakikatnya apa yang disampaikan itu jauh dari sudut kebenaran, bahkan menjadi fitnah perbalahan dan perpecahan dalaman masyarakat hingga membawa kepada kemusnahan negara sendiri.

Golongan Khawarij misalnya dikenali sebagai golongan yang terkenal sebagai hebat dan indah bahasanya dalam penyampaian serta memiliki kefasihan dan kebagusan cara menghuraikan kata yang tak terlawan. Mereka ini pintar menggunakan logik akal dalam berdebat. Menyeru kepada hukum syariah dan hukum hanyalah Milik Allah, menyeru memerangi orang-orang yang murtad dan orang-orang kafir. Namun tingkah laku dan perbuatanya tidak sesuai malah menyimpang dari seruan.

Sebagaimana yang telah di gambarkan oleh baginda Nabi shallallahu alaihi wa sallam.

يُحْسِنُونَ الْقِيلَ، وَيُسِيئُونَ الْفِعْلَ
Mereka bagus ucapan nya dan buruk perbuatan.

يَتَكَلَّمُونَ بِكَلِمَةِ الْحَقِّ
mereka bicara dengan kalimat yang Haq.

يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِيَّةِ
Mereka berbicara dari ucapan sebaik-baiknya nabi, iaitu sabda Rasulullah.

Berkata as-Sanadi dalam Hasyiahnya atas Sunan an-Nasa'i.

قال السندي في حاشيته على سنن النسائي: "أَي يَتَكَلَّمُونَ بِبَعْض الْأَقْوَال الَّتِي هِيَ من خِيَار أَقْوَال النَّاس فِي الظَّاهِر، مثل: إن الحكم إلا لله، ونظائره، كدعائهم إِلَى كتاب الله".
"Mereka ini (Khawarij) secara zahirnya, berbicara dengan slogan yang terbaik, seperti "Sesungguhnya Hukum itu hanya Milik Allah", dan menyeru untuk kembali kepada Kitabullah.


Rasulallah shallalahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّكُمْ أَصْبَحْتُمْ فِي زَمَانٍ كَثِيْرٍ فُقَهَاؤُهُ، قَلِيْلٍ خُطَبَاؤُهُ، قَلِيْلٍ سُؤَّالُهُ، كَثِيْرٍ مُعْطُوهُ، الْعَمَلُ فِيْهِ خَيْرٌ مِنَ الْعِلْمِ. وَسَيَأْتِي زَمَانٌ قَلِيْلٌ فُقَهَاؤُهُ، كَثِيْرٌ خُطَبَاؤُهُ، كَثِيْرٌ سُؤَّالُهُ، قَلِيْلٌ مُعْطُوهُ،الْعِلْمُ فِيْهِ خَيْرٌ مِنَ الْعَمَلِ
Ertinya: “Sesungguhnya kalian hidup di zaman yang fuqahanya (ulama) banyak dan penceramahnya sedikit, sedikit yang minta-minta dan banyak yang memberi, beramal pada waktu itu lebih baik dari berilmu. Dan akan datang suatu zaman yang ulamanya sedikit dan penceramahnya banyak, peminta-minta banyak dan yang memberi sedikit, berilmu pada waktu itu lebih baik dari beramal.” ~ (HR. Ath-Thabrani).

Hadits di atas tersebut menunjukkan kepada kita bahawa penceramah agama belum tentu layak digelar sebagai seorang faqih. Pada masa kini penceramah agama timbul berduyun-duyun bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan dengan penyampaian ceramah yang memukau penonton. Program-program telivisyen pula berlumba-lumba menghasilkan pelbagai rancangan menampilkan muka-muka baru dalam dunia dakwah. Sedangkan masyarakat sepatutnya digalakan agar lebih memberikan tumpuan kepada menuntut ilmu.

Sayugia agar masyarakat memahami perbezaan dan keutamaan di antara penceramah dan ulama. Kedudukan para ulama itu sangat tinggi kerena mereka adalah dari golongan pewaris nabi yang rasikh dan matang ilmunya lagi takut kepada Allah dengan menjaga adab-adab kerena beramal dengan ilmunya.

Sedangkan kita yang tidak memiliki kedalam ilmu tetapi masih bertatih mengenal permasalahan suatu bidang-bidang ilmu mungkin hanya berkelayakan sebagai muballigh yakni penyampainya sahaja.

Misalnya Syeikh Al-Bahi Al-Khauly dalam karya beliau yang berjudul "Tazkirah Al-Du'at" telah menegaskan tentang perbezaan penceramah dan pendakwah:

“Sesungguhnya pendakwah tidak sama seperti penceramah. Jika penceramah, tugasnya hanya berceramah. Manakala pendakwah, individu yang optimis dengan pemikirannya. Tugasnya menyampaikan risalah dakwah dengan penulisan, ucapan, perbualan biasa, segala kerja yang dibuat serta segala apa medium yang dirasakan bermanfaat untuk dakwah.”

Penceramah kerap kali menggunakan kalimah dan ayat yang bombastik dengan lenggok dan gaya bahasa yang mempersonakan ditambah pula dengan jargon-jargon keagamaan untuk mengujakan dan memukau para penontonnya. Walhal apa yang disampaikan itu belum tentu lagi menggambarkan hakikat keadaannya yang sebenar.

Misalnya mutakhir ini kelihatan begitu ramai para penceramah salafi-wahabi yang kononnya membawakan tajdid dan islah kepada masyarakat awam dalam siri penyampaian ceramah mereka dengan mempamerkan kelainan (untuk menarik perhatian golongan awam yang tidak memahami landasan ilmu) dengan mengetengahkan isu-isu khilafiyyah (yang mana para ulama terdahulu telah lama menyelesaikannya) telah seringkali menimbulkan fitnah kontroversi hingga menjadi polemik yang berlarutan antara golongan pro dan kontra yang menyebabkan pula perbalahan dikalangan masyarakat awam.

Sedangkan perkara-perkara khilafiyyah kebanyakkannya adalah bersifat perkara furu' yang masing-masing para ulama antara mazhab mempunyai hujjah dan dalil atau sandarannya, bahkan mereka yakni para ulama ASWJ (sekalipun berbeza mazhab antara mereka) tidak pula menyesatkan atau menghukum bid'ah atau kafir terhadap penganut mazhab yang berlainan fahamannya dari mereka (yang masih dalam lingkungan fahaman ASWJ) bahkan golongan yang tergelincir pon masih dianggap sebagai ahlul kiblah. Ini kerena menjaga perpaduan dan kesatuan ummmah itu adalah perkara yang penting dan wajib dilaksanankan, sedangkan membicarakan perkara-perkara khilaf hingga memberikan tuduhan melampau dengan membid'ah bahkan mengkafirkan golongan yang tidak sependapat dengan mereka berkaitan masalah furu' yang mana akhir-akhir ini kita dapat melihat ianya telah membawa banyak pertelingkahan dan perpecahan dikalangan orang awam, dan ini sangat-sangat merugikan kesatuan ummah itu sendiri. Tetapi apa yang malangnya, kebanyakkan masyarakat awam menganggap apa yang mereka bawa dan sampaikan itu adalah yang bertepatan dengan kehendak Al-Quran dan Sunnah kerana terpengaruh dan terpesona dengan pembawakan penceramah yang kononnya memiliki karisma dan ketokohan sebagai ulama yang hebat dan fasih dalam memberikan syarahan dalam ceramahnya.

Jadi penulis ingin bertanya, "Apakah hebat berceramah itu suatu jaminan ilmu yang disampaikan itu bertepatan dengan hakikatnya yang sebenar?"

Jika kita membaca huraian para ulama tentang ciri-ciri pendakwah dan pendidik yang sebenar, dan jika diamati kriteria yang disenaraikan oleh para ulama dalam karya-karya mereka, penulis sendiri amat malu untuk mengaku diri ini sebagai pendakwah, terasa jauh panggang dari api, bahkan tak layak sama sekali.

Dalam perkara ini sekalipun sebagai seorang awam, kita mestilah mempunyai kayu pengukur dalam menilai bagi membezakan siapakah para ulama dan siapakah khutaba' untuk mempastikan dan berhati-hati dalam urusan agama kita.


Ulama-Ulama Amilin

Mereka terdiri daripada pelapis-pelapis atau kader-kader yang keluar dari pusat pengajian agama dan menjalani latihan amali yang baik dari segi ibadah, akhlak, pegangan tauhid, kepimpinan, berwatak menyenangkan, wara’ dan tidak sombong. Pendekata mereka telah bersedia dengan ciri-ciri sebagai pewaris Nabi yang akan membawa warta Islam sedaya mungkin.


Ciri-Ciri dan Tandanya

  1. Tutur kata yang lemah lembut dan tidak menyakitkan hati
  2. Berpakaian kemas bersih dan menyenangkan
  3. Sabar dan tidak mudah melenting ketika dicaci dan dihina
  4. Bersifat pemalu dan tidak gemar terlibat dengan aktiviti lalai dan hiburan yang sia-sia
  5. Sentiasa berhubung dengan Allah melalui solat MALAM agar mendapat bantuan Allah dalam urusan agama.
  6. Tidak meminta walau dalam kesusahan dan tidak berdukacita dalam kesempitan
  7. Ucapannya diterjemahkan melalui amalannya
  8. Kesan ajarannya menjadi ikutan
  9. Tidak mengharap kecuali keredhaan Allah.

Ciri-Ciri Penceramah Agama

  1. Cakapnya lantang, menengking dan kadang-kadang marah-marah
  2. Kecewa bila ucapannya tidak mendapat sambutan bagaikan penyanyi yang hilang peminat
  3. Akan membalas cacian dengan cacian malah kadang-kadang membawa kepada dendam
  4. Bersifat ganas, kasar dan tidak malu dalam melakukan perkara sia-sia dan bila ditegur katanya itu strategi dalam berdakwah
  5. Pegangan akidahnya tidak jelas kadang-kadang terkeluar dari pegangan Ahli Sunnah Waljamaah
  6. Tidak bersedia ditegur sekiranya ada kelemahan
  7. Sentiasa mengira-ngira jumlah bayaran lumayan
  8. Menderita ia bila ceramahnya tidak dihadiri ramai orang
  9. Amat mengharap sanjungan dan nilain dari manusia kalau boleh namanya menjadi berita dimuka depan akhbar.

Itulah serba sedikit ciri-ciri perbezaan antara penceramah dan para ulama dalam menyampaikan didikan serta dakwah kepada masyarakat yang boleh kita perhatikan. Penceramah bebas mengucapkan dan mengungkapkan untaian hikmah dan mutiara kata yang memukau penonton, penyokong dan pendokongnya walaupun amalan dirinya jauh menyimpang dari apa yang diucapkannya. Manakala bagi pendakwah terutama para ulama, mereka perlu memastikan dirinya benar-benar layak untuk menyampaikan sesuatu mesej keislaman tersebut kerana sedar serta mengenangkan tanggungjawap dirinya dihadapan Allah kelak.

Firman Allah Taala :
أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Ertinya: "Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" ~ (Al-Baqarah:44)

Dan lagi Firman-Nya:
كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. ~ (As-Saff:3)

Oleh itu, seharusnya kita sebagai umat akhir zaman ini harus bijak menilai dan berhati-hati memilih kawan dan guru dalam urusan agama serta kehidupan agar tidak tercampak ke dalam golongan pelampau yang sewenang-wenangnya menuduh tuduhan-tuduhan keji terhadap masyarakat dan golongan yang berbeza pendapat dengan kita dalam urusan agama.

Cuba kita renungi hadits yang berikut ini:

مِنْ اقْتِرَابِ السَّاعَةِ أَنْ تُرْفَعَ الأَشْرَارُ وَ تُوْضَعَ الأَخْيَارُ وَ يُفْتَحَ الْقَوْلُ وَ يُخْزَنَ الْعَمَلُ وَ يُقْرَأُ بِالْقَوْمِ الْمَثْنَاةُ لَيْسَ فِيْهِمْ أَحَدٌ يُنْكِرُهَا قِيْلَ : وَ مَا الْمَثْنَاةُ ؟ قَالَ : مَا اكْتُتِبَتْ سِوَى كِتَابِ اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ
Ertinya: "Di antara (tanda) dekatnya hari kiamat adalah dimuliakannya orang-orang yang buruk, dihinakannya orang-orang yang terpilih (shalih), dibuka perkataan dan dikunci amal, dan dibacakan Al-Matsnah di suatu kaum. Tidak ada pada mereka yang berani mengingkari (kesalahannya)". Dikatakan: “Apakah Al-Matsnah itu ? beliau menjawab: “Semua yang dijadikan panduan selain kitabullah ‘Azza wa Jalla." ~ (HR. Al-Hakim).

Sebahagian di antara makna al-matsnah adalah perkataan-perkataan atau literatur yang tidak memiliki dasar dalam agama, atau sesuatu yang seakan-akan berasal dari agama, tetapi lebih merupakan perkataan-perkataan orang dalam satu kelompok, tetapi perkataan itu ditempatkan lebih tinggi daripada nash agama.

Wallahu a'lam bish-shawabi ( والله أعلمُ ﺑﺎ ﻟﺼﻮﺍﺏ )

Rujukan:
https://fitrahislami.wordpress.com/2013/07/06/ada-bezanya-di-antara-penceramah-dan-pendakwah/
https://www.nu.or.id/post/read/90911/umat-islam-harus-bisa-bedakan-ulama-dan-khutaba