Kesusasteraan Arab atau al-Adab al-‘Arabi ( الأدب العربي‎ ) ditakrifkan sebagai karya-karya penulisan baik dalam bentuk puisi atau prosa, fiksyen, kritikan, novel dan teater yang dihasilkan oleh para penulis dalam bahasa Arab.

Kesusasteraan merupakan suatu bentuk hasil seni yang diungkapkan melalui wasilah bahasa. Oleh kerana itu, mempelajari sastera suatu bangsa dan bahasa mempunyai suatu hubungan erat dalam mengenali dan memahami secara lebih mendalam budaya kehidupan sesuatu masyarakat.

Sejarah kesusastraan Arab terbahagi kepada beberapa peringkat perkembangan, yang mana ianya dibahagikan kepada berikut:
  1. Zaman Jahiliyyah (pra-Islam).
  2. Zaman Permulaan Islam.
  3. Zaman Bani Umayyah.
  4. Zaman Bani Abbasiyah (berakhir bersamaan dengan keruntuhan Baghdad akibat serangan Mongol). 
  5. Zaman Pertengahan.
  6. Zaman Kemunduran. 
  7. Zaman Moden (sejak abad ke-13 H sehingga kini).

Adab berasal dari kata (أدب - يأدب) yang secara etimologi berarti sopan atau berbudi bahasa yang baik. Sedangkan secara terminologi Al-Adab bermakna: "Perkataan yang indah dan jelas, yang dimaksudkan untuk menyentuh jiwa mereka yang mengucapkan atau yang mendengarkannya baik berupa dalam bentuk syair, natsr atau prosa."

Perbezaan Pendapat Mengenai Cabang-Cabang Ilmu Bahasa Arab

Terdapat perbezaan pendapat para ulama mengenai jumlah cabang-cabang Ilmu Sastera Bahasa Arab. Sebahagian para ulama menyatakan bahawa terdapat 12 ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Sastera Bahasa Arab (عُلُومُ الآدَاب), sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Jama'ah (اِبْنُ جَمَاعَة) atau nama lengkapnya Muhammad bin Jama'ah (wafat 819H) dalam kitabnya Hasyiyah Syrahi Asy-Syafiyah ( حَاشِيَة شَرْح الشَّافِيَة).

Namun perlu perlu difahami, bahawa sebenarnya walaupun mereka menyatakan jumlah kesemuanya adalah 12, tetapi yang sebenarnya mereka telah berbeza pendapat dalam menghitung cabang-cabang ilmunya. Jika kita kumpulkan semuanya, jumlah cabang-cabang ilmu yang berkaitan sastera bahasa arab melebihi daripada 12 cabang, iaitu lebih kurang 14 cabang ilmu bahasa kesemuanya.

Klasifikasi Cabang Ilmu Bahasa

Ibnu Jama'ah dalam kitabnya membahagi ilmu sastera bahasa arab dua kelompok besar, iaitu :
  1. Al-Ushul, iaitu inti dari ilmu bahasa arab.
  2. Al-Furu', yakni tambahan atau cabang yang merangkumi Ilmu Khath dan Imla′(علْمُ الْخَطِّ وَ الْإِمْلَاءِ), Ilmu Qira′ah (عِلْم الْقِراءة), Ilmu Insya′ (عِلْمُ الْإُنْشَاءِ) dan Ilmu Muhadharah (عِلْمُ الْمُحَاضَرَة).

Ilmu Al-Ushul terbahagi kepada dua:

1- Al-Mufradat (المُفْرَدَات): Iaitu suatu ilmu yang berkaitan dengan kosakata, dan ia pula terbahagi kepada tiga:
  1. Ilmu Lughah (عِلْمُ اللُّغَة).
  2. Ilmu Isytiqaq (عِلْمُ الْإُشْتِقَاق).
  3. Ilmu Sharf (عِلْمُ الصَّرْف).
2- Al-Murakkabat (المُرَكَّبَات): Iaitu suatu ilmu yang berkaitan dengan susunan kata. 

Kemudian al-Ushul dan al-Murakkabat (المُرَكَّبَات) itu pula terbahagi kepada dua:

1- Al-Nats (النَّثْر): Ilmu terkait dengan kalimat atau frasa, dan ia terbahagi pula kepada dua:
  1. Ilmu Nahwu (عِلْم النَّحْو): Suatu ilmu yang berkaitan dengan bentuk susunan kalimat itu sendiri, yang mana berbeza antara satu susunan dengan susunan yang lain pada baris atau harakat akhirnya.
  2. Ilmu Balaghah (عِلْمُ الْبَلَاغَة): Suatu ilmu yang berkaitan dengan rahsia mendalami susunan kalimat, dan ia terbahagi kepada tiga cabang ilmu: iaitu Ilmu Ma'ani (عِلْم المَعَانِي), Ilmu Bayan (عِلْم البَيَان), dan Ilmu badi'(عِلْم البَدِيع).
2- Ilmu yang terkait dengan kalimat yang memiliki timbangan atau sya'ir (النَّظْم) yang merangkumi Ilmu  'Arudh (عِلْمُ الْعَرُوض), Ilmu Qafiyah (عِلْمُ الْقَافِيَة), dan Ilmu Qardh (عِلْمُ الْقَرْض).

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut seluk beluk bahasa Arab yang masyhur bagi menilai keindahan bentu prosa mahupun puisinya, maka para sasterawan bahasa Arab telah menetapkan 14 cabang-cabang ilmu yang bertalian dengan bahasa Arab yang dikenali sebagai "Ulumul Arabiyah" atau ilmu-ilmu linguistik bahasa Arab yang terdiri dari:

1. Ilmu Lughah: Suatu ilmu yang mengkaji dan membahaskan bahasa Arab secara ilmiah besama dengan maknanya. Dengan menguasai ilmu ini, seseorang akan dapat mengetahui asal kata dan seluk beluk kata. Tujuan ilmu ini untuk memberikan pedoman dalam percakapan, pidato, surat-menyurat, sehingga seseorang dapat berkata-kata dengan baik dan menulis dengan baik pula.

2. Ilmu Nahwu: Suatu ilmu yang membahaskan perihal kata-kata Arab, baik ketika sendirian (satu kata) mahupun ketika dalam rangkaian suatu kalimat. Dengan kaedah-kaedah ilmu nahwu ini, seseorang akan dapat mengatahui baris akhir kata, kata-kata yang tetap barisnya (mabni), dan kata-kata yang dapat berubah (mu'rab).

Tujuanya adalah untuk menjaga lisan dari kesalahan-kesalahan dalam mempergunakan bahasa, untuk menghindarkan kesalahan makna dalam rangka memahami Al-Quran dan Hadits, dan tulisan-tulisan ilmiah atau karangan.

Topik perbahasan ilmu Nahwu berlegar di sekitar kalimah Isim, Fi'il dan Harf, serta dalam Jumlah Ismiyyah dan Fi'liyah serta Syibhu Jumlah. Dalam ilmu Nahwu banyak lagi istilah dan persoalan yang dihadapi dapat diteliti dari buku-buku yang banyak tersebar. Tokoh yang mula merintis jalan bermulanya Ilmu Nahwu ini adalah Ali bin Ali Thalib beserta para sahabatnya. Antara sahabat beliau dan tokoh selepasnya yang terkenal dalam mengistilahkan Ilmu Nahwu adalah Abu Al-Aswat Al-Duali dan Sibawaihi.

3. Ilmu Sharf: Suatu ilmu yang membahaskan dan menghuraikan tentang bentuk asal kata, maka dengan ilmu ini dapat dikenal kata dasar dan kata bentukannya, seperti Afiks, Sufiks dan Infiks, kata kerja yang sesuai dengan masa. Tokoh yang terkenal dalam merintis llmu Sarf ini adalah Muaz bin Muslim.

4. Ilmu Isytiqaq: Ilmu pengetahuan tentang asal kata dan pemecahannya, tentang imbuhan pada kata (hampir sama dengan ilmu Sarf)

5. Ilmu 'Arudh : Suatu ilmu yang membahaskan hal-hal yang bersangkutan dengan karya sastera seperti syair dan puisi. llmu Arudh membicarakan tentang wazan-wazan (timbangan) syair dan tujuanya adalah untuk menerangkan perbezaan antara syair dan bukan syair. Dengan ilmu arudh ini kita dapat mengenali bahar syair seperti berikut ini: bahar thawi, bahar madid, bahar basith, bahar wafir, bahar kamil, bahar hijaz, bahar razaz, bahar sari', bahar munsarih, bahar khafif, bahar mudhari, bahar muqradmib, bahar mujtas, bahar mutaqarib, bahar rumawi dan bahar mutadarik.

6. Ilmu Qawafi: Suatu ilmu yang membahaskan tentang suku terakhir kata dari bait-bait syair sehingga dapat diketahui akan keindahan syair. Antara tokoh yang mula merintisnya adalah Muhallil bin Rabi'ah paman Amru' Al-Qaisy.

7. llmu Qardhus Syi'ri: Suatu ilmu yang membahaskan tentang karangan yang berirama (lirik), dengan tekanan suara yang tertentu. Gunanya untuk membantu menghafalkan syair dan mempertajam ingatan pembaca syair.

8. Ilmu Khat: Suatu ilmu yang membahaskan tentang huruf dan cara merangkaikannya, termasuk bentuk halus kasarnya dan seni menulis dengan indah dapat dibezakan dalam beberapa bentuk mulai dari khat Tsulus, Diwan, Parsi dan Nasakh. Tokoh yang mula memperkenalkannya tak lain dan tak bukan adalah Nabi Idris karena beliaulah yang pertama kali menulis dengan qalam.

9. Ilmu Imla: Suatu ilmu  yang membahaskan tentang asas-asas menulis yang benar. Dengan mempelajarinya seseorang akan berkemampuan untuk menyemak penulisannya dengan mengetahui kaedah-kaedah berkonsentrasi bagi menghindari kekeliruan dalam penulisan. Ianya amat relevan dan bermanfaat dalam menulis karya ilmiah dalam menuliskan redaksi beserta transliterasi.

10. Ilmu Insyak: Suatu ilmu yang membahaskan tentang kaedah-kaedah mengarang surat, buku, pidato, cerita, artikel dan sebagainya. Gunanya untuk menjaga jangan sampai salah dalam dunia karang-mengarang.

11. Ilmu Mukhadarat: Suatu ilmu yang membahaskan tentang cara-cara memperdalam suatu persoalan, untuk diperdebatkan di depan majlis, untuk menambah keterampilan dalam berargumentasi agar mahir bertutur dan terampil sewaktu mengungkapkan cerita.

12. Ilmu Badi': Suatu ilmu dari bahagian Ilmu Balaghah yang membahaskan tentang cara-cara membentuk kalam yang baik sesudah memelihara tujuan yang lain (muthabaqah dan wudhuhud dilalah) dalam ilmu seni sastera. Tokoh yang mula merintis ilmu ini adalah Abdullah bin Mu'taz. llmu ini ditujukan untuk menguasai seluk beluk sastera sehingga memudahkan seseorang dalam meletakkan kata-kata yang sesuai pada tempatnya sehingga kata-kata tersusun indah, sedap didengar dan mudah diucapkan.

13. Ilmu Bayan: Suatu yang membahaskan tentang kaedah-kaedah penetapan beberapa peraturan dalam menyampaikan suatu makna yang sama, melalui cara yang pelbagai dan mengetahui makna yang terkandung dalam suatu kalimat. Tokoh yang merintisnya adalah Abu Ubaidah yang telah menyusun ilmu ini dalam kitab karangannya iaitu "Muujazu Al-Quran", kemudian ia dikembangkan oleh Imam Abu Qahir, kemudian disempurnakan pula oleh para pujangga Arab yang lainnya seperti AI-Jahiz, lbnu Mu'taz, Qaddamah dan Abu Hilal Al- Asikari. Dengan menguasai ilmu ini, seseorang akan dapat mengetahui rahsia bahasa arab dalam prosa dan puisi, keindahan sastera Al-Quran dan Hadits. Tanpa mengetahui ilmu ini seseorang tidak akan dapat menilai apalagi memahami isi Al-Quran dan Hadits Nabi dengan sesungguhnya.

14. Ilmu Ma'ani: Suatu ilmu yang membahaskan tentang penentuan beberapa kaedah berkenaan hal ehwal lafaz atau kata bahasa arab yang sesuai dengan tuntutan situasi dan kondisi yang secara istilahnya disebut sebagai "Muqtadhal Hal" yang tujuannya adalah untuk mengetahui I'jaz Al-Quran, keindahan sastera Al-Quran yang tiada taranya.

Tokoh yang mula merintis ilmu ini adalah Abd al- Qahir al- Jurzani. Objek kajian ilmu ma’ani adalah kalimat-kalimat yang berbahasa arab. Ilmu ini bertujuan untuk mengungkap kemukjizatan al-Qur’an, al-Hadits dan rahsia-rahsia kefasihan kalimat-kalimat bahasa Arab, baik dalam bentuk puisi mahupun dalam bentuk prosa.

Objek kajian ilmu ma’ani hampir sama dengan ilmu nahwu. Kaedah-kaedah yang berlaku dan diguna pakai dalam ilmu nahwu turut berlaku dan digunakan pula dalam ilmu ma’ani. Perbezaan di antara keduanya terletak pada wilayahnya. Ilmu nahwu lebih bersifat mufrad (berdiri sendiri) sedangkan ilmu ma’ani lebih bersifat tarkibi (dipengaruhi faktor lain). Hal ini sesuai dengan pernyataan Hasan Tamam, bahwa tugas ilmu nahwu hanya mengotak-katikkan kalimah dalam suatu jumlah, tetapi tidak sampai melangkah pada jumlah yang lain.