Kalimah dunia berasal dari perkataan (دُنُّوُ - dunnuw) artinya dekat atau (دَناءةٌ - danaatun) artinya kehinaan. Dunia adalah segala makhluk yang ada atau yang wujud sebelum akhirat. Orang yang beramal kerana dunia adalah beramal untuk mendapatkan sesuatu faedah dengan pelbagai muslihat bagi meraih keuntungan yang dekat dan hina. Padahal dunia ini adalah daarul ibtilaa’ (negeri tempat ujian dan cubaan) yang bersifat sementara.
Allah ‘azzawajalla berfirman:
وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
“Wahai manusia, Kami akan menguji kalian dengan kesempitan dan kenikmatan, untuk menguji iman kalian. Dan hanya kepada Kamilah kalian akan kembali” ~ (QS. Al-Anbiya : 35).
Kerana dunia ini tiada lain hanya tempat permainan yang melalaikan lalu membinasakan penghuninya jika tidak diberikan peringatan yang sewajarnya.
Firman Allah s.w.t:
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? ~ (Q.S. Al-An'am: 32)
Namun hakikatnya kehidupan kita sekarang adalah di dalam dunia, maka tidaklah salah kita mengambil faedahnya sekadar perlu bagi melangsungkan kehidupan lahiriah duniawi.
Firman Allah s.w.t:
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." ~ (Q.S. Al-Qashash: 77)
Agama Islam mengajar penganutnya bahawa dunia adalah sebagai alat dan bukan tujuan, iaitu alat untuk menyampaikan kepada tujuan akhir di akhirat seperti sebuah jambatan yang menghubungkan dua tebing daratan.
Oleh itu wahai teman, janganlah kalian terlalu berduka memendam kesedihan secara berlebihan atas kehilangan sesuatu yang bersifat sementara sedangkan tuhan menjanjikan sesuatu yang kekal bagi mereka yang beramal semata-mata kerena inginkan keredhaannya.
Firman Allah S.W.T.
وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." ~ (Q.S. Al-Baqarah: 216)
Dan lagi firman Allah s.w.t.:
لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌ ۖ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌ ۚ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. ~( QS Yunus 10:26)
Senang dan duka adalah sunatullah yang pasti mewarnai kehidupan ini. Tidak ada seorang manusia pun yang terus merasa senang, dan tidak pula terus menerus berada dalam kedukaan dan kesedihan. Semuanya pasti akan merasakan senang dan duka itu datang silih berganti.
Ikrimah rahimahullah pernah mengatakan,
ليس أحد إلا وهو يفرح ويحزن، ولكن اجعلوا الفرح شكراً والحزن صبر
“Setiap insan pasti pernah merasakan suka dan duka. Oleh karena itu, jadikanlah sukamu adalah syukur dan dukamu adalah sabar.”
Allah yang menciptakan kebahagiaan dan kesedihan agar manusia menyedari nikmatnya kebahagiaan, sehingga ia bersyukur dan berkongsi rasa nikmat bahagia. Dan diciptakan kesedihan agar hamba tunduk bersimpuh di hadapan Tuhan yang maha pemurah lagi maha mengasihi untuk memohon rahmat dan pengampunan, agar tidak menyombongkan diri.
Firman Allah S.W.T.
لِّكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. ~ (QS. Al-Hadiid 57:23)
Wallahu'alam
0 Comments