Ertugrul adalah lambang perjuangan bangsa Turki dalam memperjuangkan agama dan nasib bangsanya. |
Dek penangan drama bersiri Turki "Diriliş: Ertuğrul" yang bertemakan sejarah dan pengembaraan serta perjalanan hidup mengenai bapa kepada Osman I pendiri Khilafah Bani Uthmaniyyah yang ditugaskan oleh bapanya Suleyman Shah untuk mencari penempatan baharu bagi suku Kayi mereka telah membuatkan aku begitu teruja sekali untuk mengetahui sejarah permulaan bangsa Turki mula memeluk Islam.
Setelah berlakunya perhubungan dengan Islam sejak abad kedelapan masihi yang disebabkan oleh faktor kedekatan jarak geografis, orang-orang Turki sering menerima Islam secara sukarela. Kerana Al-Quran melarang pertukaran agama secara paksa ke dalam Islam samada melalui tindakan kekerasan atau perperangan. Tetapi struktur etika Islam itu sendiri yang telah menarik minat yang mendorong mereka untuk memeluk agama Islam.
Tidak lama selepas kebangkitan Islam, tentera Islam telah berjaya mematahkan sayap Empayar Bizantin (Rom Timur) dengan menakluk Syria pada 634M dan Mesir pada 641M. Menakluk keseluruhan Empayar Sassanid 633M - 651M dan sampai ke Sungai Amu Darya1 pada tahun berikutnya bahkan hingga melepasi Transoxiana2, dan pada ketika itu umat Islam telah menjalinkan hubungan dengan bangsa Turki untuk pertama kalinya. Walau bagaimanapun, pada masa itu bangsa Turki dan Kaum Muslimin tidak lain hanyalah sebagai jiran sehingga abad kelapan yang disebab pergolakkan dalaman umat Islam akibat pembunuhan Khalifah Omar dan penggantinya Uthman. Beberapa orang golongan pertama dari bangsa Turki telah memeluk Islam telah dipindahkan ke Iraq pada tahun 675M oleh komander Khilafah Bani Umayyah iaitu Ubaydullah ibn Ziyad.
Sisi kanan dalam peperangan
Semasa pemerintahan Bani Umayyah, Hajjaj ibn Yusuf telah ditugaskan sebagai gabenor Iraq, yang melibatkan semua wilayah timur kekaisaran. Berikutan dengan tugasnya, beliau telah menugaskan Qutaiba ibn Muslim, yang merupakan salah seorang komandan paling terkemuka pada masa itu, ke Khorasan pada tahun 705M, dan mereka dengan pantas telah merampas Mawara al-Nahr. Orang Turki menahan serangan dari tentera Arab pada tahun 720M, tetapi pertempuran diantara orang Arab dan Turk telah membawa mereka untuk mengenali Islam dengan lebih dekat.
Pada tahun 750M Abu al-'Abbas as-Saffah pendiri Khilafah Bani Abbasiyyah telah melancarkan pemberontakkan secara besar-besaran terhadap pemerintahan Bani Umayyah bermula dari Khurasan. Beliau berjaya menggulingkan Bani Umayyah dengan mengalahkan mereka dalam pertempuran Zab pada 25 Januari 650M, serta menghapuskan kaum kerabat Bani Umayyah yang gagal melarikan diri ke Andalus. Setelah itu beliau telah mengalihkan pemerhatiannya terhadap kawasan Asia Tengah dengan menghantar sejumlah pasukan tentera Islam untuk berkonfrontasi dengan kuasa serantau terutama terhadap Dinasti Tang dengan bertujuan untuk mengkonsolidasikan kekhalifahannya.
Semasa pertempuran antara tentera Islam dari Bani Abbasiyyah dan tentera Cina dari Dinasti Tang pada tahun 751M, dekat Sungai Talas di Kyrgyzstan sekarang, pasukan-pasukan dari suku kaum bangsa Turki telah memihak kepada orang Islam dan berjuang bersama mereka. Ia merupakan peristiwa penting dalam sejarah bangsa Turki. Sejak masa itu, Islam menyebar di kalangan orang-orang Turki, dan pada masa yang hampir seluruh wilayah bangsa Turki menerima Islam dan lenyapnya pengaruh empayar Cina di rantau Asia Tengah.
Mengapa bangsa Turki menerima Islam
Beberapa alasan mengapa orang-orang Turki tertarik untuk memeluk agama Islam.
- Agama : Sebelum kedatangan Islam, kebanyakan suku kaum dari bangsa Turki menganuti Kök Tengri (Tengrism). Iaitu suatu sistem kepercayaan dan gaya hidup yang mirip kepada Islam. Yang mana mereka percaya kepada kewujudan tuhan sebagai pencipta tunggal, kewujudan syaitan, kehidupan akhirat, keabadian jiwa dan syurga dan neraka. Perbuatan yang salah seperti perzinaan, pencurian, penyeksaan, pembunuhan dan pembohongan juga dilarang. Mengorbankan haiwan, bersujud dan pengamalan poligami juga biasa di kalangan suku kaum bangsa Turki. Dan yang terakhir adalah konsep jihad dalam Islam digunakan bersesuaian dengan ciri-ciri budaya kepahlawanan bangsa Turki.
- Ekonomi : Setelah penaklukan Turkestan, hubungan ekonomi telah bermula diantara penduduk setempat dan kaum Muslimin. Hubungan intim di antara mereka telah mencipta pelbagai peluang bagi orang-orang Turki untuk mengenal agama Islam. Oleh karena itu, Islam mulai menyebar di kalangan pedagang di kota-kota mereka. Orang-orang Turki yang tinggal di utara dan timur mulai menganuti agama sesama bangsanya, kerana mereka berbicara bahasa yang sama dan melakukan perdagangan.
- Sosial : Kejujuran orang Islam dalam perdagangan dan kepentingan yang mereka berikan terhadap keadilan dan etika telah memberikan kesan positif kepada umat Islam yang ditemui melalui hubungan komersial dan kejiranan mereka. Penduduk tempatan dari kawasan yang berjiran mengatakan bahawa etika sosial pedagang-pedagang Muslim yang telah datang untuk melakukan perdagangan dengan mereka adalah hasil kesan dari agama mereka. Misalnya, cara dan sikap mereka mengukur kain - mengukur longgar yakni berlebih kurang saat berjualan iaitu tidak bersikap bakhil dan tamak, tetapi sangat jujur ketika membeli - dan hasilnya sikap ini telah memikat penduduk setempat. Mereka mulai mempertanyakan apakah kaum Muslim itu adalah manusia atau malaikat.
- Politik dan Ketenteraan : Pentadbiran Khalifah Bani Umayyah dan Abbasiyyah telah menubuhkan satu pasukan tentera yang berasaskan kepada bangsa Turki dikenali sebagai Mamluk, iaitu dengan merekrut orang-orang Turki dan mendirikan pengkalan-pengkalan tentera seperti Samarra untuk pasukan ini. Dengan kemampuan unggul mereka untuk berperang, orang-orang Turki dipromosikan ke pangkat tinggi dalam tentara. Mereka juga ditugaskan ke jawatan yang berkaitan dengan tadbir urus negara. Oleh itu, tentera dan perkhidmatan pentadbiran dijalankan kebanyakannya oleh orang Turki, yang mengakibatkan masyarakat Turki lebih dekat dengan Islam. Sejarawan British, Sir Thomas Arnold, dalam bukunya "The Preaching of Islam: A History of Propagation of Faith Muslim", memberikan penjelasan terperinci tentang mengapa orang dari berbagai budaya dan etnik yang secara sukarela menerima Islam.
Kerelaan
Kebanyakkan masyarakat Turki memeluk Islam bukan kerana paksaan melalui kekuatan bersenjata, tetapi dengan kerelaan mereka sendiri. Al-Quran telah melarang untuk memaksa orang untuk masuk Islam dengan pedang. Pada awal abad ke delapan, tanah-tanah Turki sedang ditaklukkan oleh orang-orang Muslim. Namun, bagi sebahagian bangsa Turki, penghijrahan mereka ke Islam terjadi dua abad kemudian pada abad ke-10. Dalam masa ini, terdapat beberapa orang yang memeluk agama Islam, tetapi tidak meluas, yang menunjukkan bahawa sebahagian dari mereka mengamalkan Islam secara aman.
Menurut undang-undang syariah, orang bukan Islam harus membayar jizyah yang lebih tinggi daripada orang Islam. Dan ini lebih menguntungkan bagi hasil negeri agar orang-orang Turki untuk kekal sebagai orang bukan Islam. Oleh itu adalah tidak masuk akal untuk pemimpin-pemimpin Islam untuk memaksa orang-orang Turki untuk menukar kepada agama Islam.
Raja-raja Islam Turki yang pertama
Raja-raja Turki yang pertama untuk menukar agama kepada Islam adalah putera dari negeri Sogdiana. Putera Tarkhan Nizak, yang telah memeluk agama Islam pada tahun 704M, beliau mengekalkan takhta dan mengikuti kempen ketenteraan Qutaiba. Suku Bulgar yang tinggal di Sungai Volga juga telah mengamalkan ajaran Islam pada era yang sama. Pemimpin Bulgar Yiltawar Almish Khan telah mewarisi tampuk kekuasaan pada tahun 920M, juga telah menerima Islam dan menukar namanya kepada Jafar. Jafar juga adalah nama khalifah Abbasiyah ketika itu. Orang-orang Bulgaria mungkin nenek moyang Kazan hari ini, atau Tatar Volga.
Sultan Satuq Bughra Khan, penguasa Karakhanid, adalah penguasa Islam Turki pertama yang mendapat kemahsyuran. Walaupun dia bukan pemerintah Turki yang pertama, tetapi dia adalah Maharaja Islam Turki yang pertama yang diberikan gelaran Khan, yang bermaksud tuan. Pertembungannya dengan Islam berlaku sebelum beliau berusia 25 tahun ketika ia masih menjadi gabenor Atush melalui hubungannya dengan pedagang Muslim. Etika sosial mereka memberi kesan kepadanya. Telah diriwayatkan bahawa dia melihat Nabi Muhammad dalam mimpi berkata: "Bukankah saatnya menjadi seorang Muslim?" Setelah bermimpi, dia segera memeluk agama Islam dan mengambil nama Abd al-Karim. Menjadi khan pada tahun 924M, penerimaannya terhadap Islam mengakibatkan beribu-ribu masyarakat nomad yang mengamalkan Islam sebagai agama baru mereka secara berperingkat.
1 dalam bahasa latin dikenali sebagai Oxus yang terletak di kawasan Asia Tengah diantara Turkmenistan dan Uzbekistan↩
2 juga dieja sebagai Transoxania, bangsa Arab mengenali kawasan ini sebagai Mā Warāʾ an-Nahr↩